Hak 40% Sabah: Salleh Desak Rundingan Bertempoh Jelas, Elak Berlengah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menegaskan bahawa proses rundingan berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah perlu ditetapkan dengan tempoh masa yang jelas supaya tidak disalah tafsir sebagai usaha melengah-lengahkan penyelesaian atau sekadar meredakan sentimen awam.

Beliau yang juga Bendahari Agung UMNO Sabah berkata, rundingan yang berpanjangan tanpa hasil konkrit bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan prinsip tadbir urus baik, memandangkan tuntutan itu merupakan hak Sabah yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan.

Menurut Salleh, meskipun Perlembagaan membenarkan pelaksanaan pembayaran mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan, peruntukan tersebut tidak pernah menafikan hak Sabah, sebaliknya hanya memberi kelonggaran dari segi tempoh dan kaedah pelaksanaan.

“Rundingan memang sebahagian daripada proses Perlembagaan, tetapi ia mesti berprinsip, tersusun dan berfokus kepada hasil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sesi rundingan seterusnya antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah berhubung pemberian khas itu dijadual berlangsung esok.

Sehubungan itu, Salleh menggesa Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dilibatkan secara langsung memandangkan badan berkenaan mempunyai peranan penting dalam menuntut hak 40 peratus melalui prosiding mahkamah.

Beliau turut berpandangan bahawa rundingan tidak wajar terhad kepada saluran pentadbiran semata-mata, sebaliknya keputusan berkaitan tuntutan berkenaan perlu dibentang, dibahas dan dipersetujui melalui wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melangkaui kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bahawa mesyuarat pertama bagi membincangkan kaedah serta ‘parameter’ penyerahan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah dijangka diadakan pada pertengahan bulan depan, sambil menegaskan komitmen Putrajaya untuk menunaikan hak berkenaan seperti dipersetujui Jemaah Menteri.

BBerkaitan

Latest articles