MELAKA – Seorang guru wanita dan anak sulungnya yang berusia 21 tahun ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai awal pagi ini, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Kejadian disedari sekitar jam 6 pagi oleh orang awam yang terlihat seorang lelaki terbaring berlumuran darah di atas jalan di hadapan rumah berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.
Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Batang 3 yang bergegas ke lokasi mendapati seorang lelaki masih bernyawa dalam keadaan cedera parah di luar rumah. Pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui dua individu lagi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Pasukan perubatan dari Hospital Melaka yang tiba di lokasi kemudiannya mengesahkan kematian kedua-dua mangsa — wanita yang dikenal pasti sebagai seorang guru dan anak lelakinya.
Ketika ini, pasukan forensik masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Leow Kian Heong.
Sementara itu, media sosial turut tular dengan dakwaan awal yang mengaitkan kejadian tersebut dengan pertelingkahan dalam kalangan ahli keluarga. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti motif sebenar insiden tragik itu.