Ganggu Wanita di Bilik Persalinan, Dua Lelaki Diburu

JOHOR BAHRU: Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki mengganggu seorang wanita dengan menarik tirai bilik persalinan ketika mangsa sedang menukar pakaian di sebuah premis pakaian di Taman Mount Austin, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian berlaku ketika wanita berusia 26 tahun itu berada dalam bilik persalinan dan salah seorang suspek dilihat memegang telefon bimbit ketika tirai ditarik.

“Selepas kejadian, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri. Kes ini kini dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rakaman kejadian berkenaan telah tular di media sosial, mencetuskan kemarahan netizen yang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pelaku.

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu berhubung perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 untuk membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles