Fitnah MARA, Asyraf Wajdi Akan Saman Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, susulan dakwaan fitnah yang didakwa mencemarkan imej agensi itu.

Menurut Asyraf dalam satu hantaran di Facebook, beliau kecewa dengan tuduhan yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik dan tidak berasas, khususnya berkaitan lawatan tidak rasmi serta pengurusan dana MARA.

“Saya tiada masalah jika mahu mengkritik saya. Mungkin ada yang anggap tidak wajar Pengerusi bukan eksekutif membuat lawatan mengejut ke MRSM, IKM atau KKTM. Saya boleh terima pandangan begitu.

“Namun apabila sampai tahap menabur fitnah semata-mata untuk memburukkan nama baik MARA, saya tiada pilihan selain memulakan tindakan saman fitnah,” katanya.

Asyraf turut memaklumkan bahawa pasukan peguam MARA akan memulakan prosiding undang-undang dalam masa terdekat.

“Mula-mula saya malas nak layan, tapi fitnah yang dilemparkan sudah keterlaluan. Jumpa di mahkamah, YB Mas!” katanya lagi.

Sebelum ini, Mas Ermieyati dilaporkan mendakwa Asyraf membazirkan dana agensi melalui lawatan tidak rasmi dan menuduh MARA memotong program hafazan serta menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bagaimanapun, Asyraf menegaskan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan menegaskan komitmennya untuk terus mempertahankan integriti MARA sebagai agensi yang memperjuangkan pembangunan Bumiputera.

BBerkaitan

Latest articles