Enam Termasuk Suami Isteri Pengasas Program eHati Kena Reman 3 Hari

SHAH ALAM: Enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati), bersama seorang anak perempuan mereka, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh dalam sebuah program motivasi.

Perintah reman sehingga 18 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini, selepas membenarkan permohonan polis terhadap kesemua suspek berusia antara 26 hingga 47 tahun.

Kesemua mereka yang terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki kini disiasat di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam, Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Semalam, peguam Datuk M Reza Hassan memaklumkan anak guamnya ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebaik selesai memberi kenyataan di IPD Petaling Jaya.

Tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun, yang juga suami kepada salah seorang peserta program motivasi anjuran syarikat terbabit di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam pada September lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan program berkenaan bersifat songsang dan terpesong daripada norma masyarakat.

BBerkaitan

Latest articles