JOHOR BAHRU: Empat pegawai penguat kuasa direman selama enam hari sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan haram ‘pasport terbang’ di Zon Masuk Motosikal di sempadan Johor-Singapura.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi tadi.
Menurut sumber, dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ketika menjalankan pemeriksaan mengejut di kaunter sempadan pada Jumaat lalu.
“Mereka kemudian diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut. Susulan itu, dua lagi pegawai turut ditahan kerana dipercayai bersubahat,” katanya.
Hasil serbuan semalam, SPRM merampas 14 pasport milik warga asing, empat telefon bimbit milik suspek utama serta wang tunai berjumlah kira-kira RM3,000, dipercayai hasil aktiviti rasuah.
“Siasatan awal mendapati setiap pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik dikenakan ‘caj gelap’ sekitar RM200. Aktiviti ini dipercayai telah lama beroperasi dengan kerjasama dalaman,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009, berkaitan permintaan atau penerimaan rasuah oleh penjawat awam,” katanya.