KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai hasil bedah siasat pelajar berusia 13 tahun itu sehingga laporan rasmi dikeluarkan pihak hospital.
Dalam kenyataan bersama, peguam Shahlan Jufri dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan percanggahan antara laporan lisan yang dimaklumkan kepada mereka dan ibu mangsa dengan laporan penuh bedah siasat.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, memang terdapat kecederaan yang ditemui pada tubuh Allahyarham semasa bedah siasat,” kata mereka.
Pada masa sama, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan polis memohon perintah bagi menggali semula kubur Zara Qairina, sekali gus membolehkan bedah siasat dilakukan kelmarin.
Mereka turut berterima kasih kepada pasukan polis yang mengawal rapi proses penggalian dan bedah siasat, selain menghargai sokongan semua pihak termasuk petugas media yang berada di lokasi sepanjang prosedur berlangsung.
“Kami amat menghargai kehadiran wartawan yang berada di tanah perkuburan dan di Hospital Queen Elizabeth 1 dari pagi hingga malam untuk menyaksikan proses penggalian, pengebumian semula dan bedah siasat,” kata mereka.
Proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, yang bermula pada jam 11 pagi dan berakhir sekitar 8 malam kelmarin, dijalankan di hadapan peguam keluarga atas permintaan waris.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia keesokan harinya ketika menerima rawatan di hospital.