Dua Warga Malaysia Parah Diserang, Dibakar Di Bangkok

BANGKOK: Dua pelancong Malaysia berdepan detik ngeri apabila diserang dengan bahan kimia sebelum dibakar seorang lelaki di pusat bandar Bangkok, malam semalam.

Ketua Polis Lumpini, Kol Yingyos Suwanno, berkata kejadian berlaku sekitar 10 malam di tangga luar pusat beli-belah Big C, ketika mangsa, Ong Yik Leong, 26, dan Gan Xiao Zhen, 27, sedang duduk berehat.

Menurutnya, suspek, seorang penganggur bertindak menuang sebotol plastik berisi bahan kimia thinner ke atas pasangan itu sebelum mereka cuba melarikan diri.

“Suspek mengejar mangsa dan membakar mereka. Orang awam yang berada di lokasi berjaya menahan lelaki itu selepas kejadian,” katanya dipetik Bangkok Post.

Ong kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Polis, manakala Gan menerima rawatan di Hospital Memorial Raja Chulalongkorn.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku menyerang mangsa secara rambang kerana marah selepas diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

Video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan beberapa orang awam bertindak pantas membantu mangsa dengan menyimbah air bagi memadamkan api yang marak.

Polis Thailand kini menahan suspek untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan cubaan membunuh.

BBerkaitan

Latest articles