KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai dari Sibu, Sarawak maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata dalam satu kejadian mengejut di hadapan sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, lewat tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 pagi, kedua-dua mangsa dikatakan sedang berjalan menuju ke arah kenderaan mereka yang diletakkan di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan apabila sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar menyerbu dan melepaskan tembakan.
Menurut seorang saksi, insiden berlaku begitu pantas apabila suspek meluru ke arah mangsa sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
“Suspek tiba-tiba berlari ke arah dua lelaki tersebut dan menembak bertubi-tubi. Saya lihat kedua-duanya terus rebah berlumuran darah,” katanya memetik Berita Harian di lokasi kejadian.
Difahamkan, kedua-dua mangsa ditembak di bahagian kepala dan badan, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Suspek yang dipercayai bersenjata pistol kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Alza.
Tinjauan di lokasi mendapati mayat kedua-dua mangsa terbaring dalam jarak kira-kira lima meter dari kenderaan mereka.
Unit Forensik Polis bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sedang menjalankan siasatan rapi di tempat kejadian, termasuk mengumpulkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta keterangan daripada saksi awam.
Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari selepas satu lagi insiden tembakan di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada Jumaat lalu, yang mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan dua rakannya.
Dalam insiden tersebut, dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah kumpulan mangsa yang sedang minum di sebuah restoran.
Salah seorang suspek dipercayai menggunakan pistol jenis semi-automatik dalam serangan tersebut.
Polis kini menyiasat kedua-dua kejadian ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan tidak menolak kemungkinan terdapat kaitan antara kedua-dua kes berikutan modus operandi yang hampir sama.