Dua Kanak-Kanak Ditemui Tepi Jalan Bukan Kes Buang Anak

SEREMBAN: Tular sebuah video menyayat hati memaparkan dua kanak-kanak perempuan duduk sendirian di tepi jalan tanpa kasut dan pengawasan orang dewasa, namun polis mengesahkan ia bukan kes buang anak seperti yang disangka ramai.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, kejadian yang berlaku di Garden Avenue, Seremban 2 itu dipercayai berpunca apabila kanak-kanak perempuan berusia lingkungan 6 tahun membawa adiknya keluar dari rumah semasa bapa mereka sedang tidur.

“Kanak-kanak itu bukan dibuang. Mereka telah diserahkan semula kepada ibu bapa di Balai Polis Seremban 2 selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi media.

Video berdurasi 12 saat yang tular semalam meruntun hati warga maya apabila memaparkan dua beradik perempuan, salah seorang masih memegang botol susu, duduk di pinggir jalan dalam keadaan keliru dan keletihan.

Lebih menyedihkan, kedua-duanya tidak berkasut dan kelihatan terpinga-pinga ketika orang ramai dan anggota polis menghampiri mereka.

Rakaman itu menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan mereka ditinggalkan oleh penjaga atau menjadi mangsa penderaan.

Namun, hasil siasatan dan maklum balas netizen yang mengenali keluarga tersebut menyatakan bahawa si kakak dipercayai bertindak membawa adiknya keluar tanpa pengetahuan bapa yang sedang lena tidur di rumah.

Satu foto turut dimuat naik memaparkan dua beradik tersebut bersama bapa mereka di balai polis, dipercayai diambil selepas mereka dijemput semula oleh keluarga.

BBerkaitan

Latest articles