KEPALA BATAS: Tindakan dua lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai perkakasan di Bertam yang memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik mencetuskan kemarahan warganet selepas rakaman perbuatan itu tular di media sosial hari ini.
Rakaman berdurasi 21 saat tersebut memaparkan seorang lelaki sengaja memasang bendera kebangsaan secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, sementara seorang lagi merakam aksi itu.
Perbuatan tersebut mengundang kecaman ramai yang menganggapnya tidak menghormati simbol negara, lebih-lebih lagi ketika sambutan Bulan Kebangsaan sedang berlangsung.
Video berkenaan mula tersebar sejak pagi tadi selepas dimuat naik ke beberapa platform media sosial, dengan rata-rata pengguna menggesa tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat.
Setakat ini, Polis Pulau Pinang belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.