Doktor Disiasat Kes Cabul Pesakit Wanita, Pernah Ditahan Dalam Kes Serupa

GEORGE TOWN: Seorang doktor lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes cabul membabitkan seorang pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek berusia 43 tahun itu ditahan sekitar jam 8 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya selepas hadir memberi keterangan atas permintaan pihak polis.

“Mangsa wanita mendakwa kejadian berlaku pada 29 Jun lalu, kira-kira jam 11.46 pagi, ketika dia mendapatkan rawatan sakit perut di klinik berkenaan.

“Semasa pemeriksaan, doktor tersebut didakwa menyuruh mangsa menanggalkan baju dan menyentuh kedua-dua payudaranya tanpa sebab yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis pada 18 Julai lalu, selepas tidak berpuas hati dengan perlakuan doktor tersebut semasa sesi rawatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, mengesahkan doktor berkenaan merupakan individu sama yang pernah disiasat dalam beberapa kes gangguan seksual terhadap pesakit wanita sebelum ini di beberapa fasiliti kesihatan di negeri ini.

“Suspek sebelum ini pernah ditahan dalam tiga insiden berasingan melibatkan kelakuan tidak senonoh ke atas wanita di sebuah hospital dan dua klinik swasta di daerah Timur Laut,” katanya.

Difahamkan, antara modus operandi terdahulu yang dilaporkan termasuk meminta pesakit membuka baju dan berlari setempat atas alasan rawatan, serta disyaki merakam gambar tubuh badan mangsa menggunakan telefon bimbit sewaktu pemeriksaan berlangsung.

Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek dalam siasatan, yang kini ditahan reman selama tiga hari hingga 23 Julai bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana kombinasi hukuman itu jika sabit kesalahan.

Dalam kes terdahulu, suspek juga disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (kerana menggunakan perkataan atau isyarat menghina kehormatan seseorang) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Pihak polis menasihatkan mana-mana individu yang mungkin menjadi mangsa atau mengetahui kes serupa untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles