DNAA Najib Diputuskan 20 Jun

 
KUALA LUMPUR: Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada dilepaskan tanpa dibebaskan(DNAA) daripada tiga tuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta akan ditentukan Mahkamah Tinggi pada 20 Jun depan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, K Muniandy, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, sama ada mahkamah wajar memberikan DNAA kepada Najib.

Terdahulu Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga tuduhan itu.

Permohonan dibuat oleh pihak pembelaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bekas perdana menteri itu yang dihantarpada 31 Julai 2023.

Muhammad Shafee berkata, DNAA paling sesuai diberi kepada anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktorgaris masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.

Katanya, tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibuat pada 2019 dan sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Pihak pembelaan, percaya wujud merit bagi representasiberkenaan kerana sifat muktamad perbicaraan kes penyelewengan dana SRC yang pertama membabitkan RM42 juta dan rayuan yang seterusnya.

“Kes ini berlangsung sejak 2019, dan penangguhan menjangkau enam tahun. Dokumen berkaitan kes SRC pertama sudah tersebar di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan dan dalam prosiding sivil.

“Pihak pembelaan mencadangkan pelepasan tidak berjumlah kepada pembebasan penuh (DNAA) bagi mengelakmembebankan dokumen mahkamah dan memberi masa kepadapihak pendakwaan untuk melakukan persediaan tanpa prejudis.

“Tertuduh tidak seharusnya menunggu selama-lamanya bagitarikh perbicaraan ditetapkan. Keadilan memerlukan kejelasandan kepastian bagi kedua-dua pihak,” katanya di sini.

Terdahulu, Ashrof Adrin memberitahu mahkamah, AGC menolak representasi Najib dan pihak pendakwaan berhasrat meneruskan perbicaraan kes terbabit.

Ashrof Adrin berkata, sebanyak 807 ekshibit telah dikemukakan dalam perbicaraan penyelewengan dana SRC pertama sebelum ini di Mahkamah Tinggi dan kebanyakannya diperlukan untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram.

Katanya, pihak pendakwaan akan membuat permohonan rasmi bagi mendapatkan dokumen terbabit daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi kerana ia kini berada dalam simpanan mahkamah.

“Untuk mengesan dan mendapatkan semula eksibit berkenaan mungkin mengambil masa, jadi pihak pendakwaan mencaritarikh bagi perbicaraan kemudian untuk membolehkan pengumpulan dokumen dan penyediaan kenyataan saksi dibuat.

“Dokumen berkenaan tidak boleh diperoleh dengan serta-merta. Kali terakhir pendakwaan melihat eksibit itu ialah ketikaperbicaraan (SRC pertama) pada 2020 dan tidak pasti di mana ia berada.

“Pihak pendakwaan tidak boleh bersetuju dengan DNAA. Walaupun tidak bersedia meneruskan serta-merta perbicaraan kerana masa yang diperlukan untuk mendapatkan dokumen, kami berhasrat meneruskan dengan perbicaraan.

“Kami mengakui mengesan dokumen akan mengambil masa tetapi mengekalkan ini tidak mewajarkan DNAA,” katanya.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Najjb dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen tetapi kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 selepas pihak pendakwaan membuat permohonan memindahkan kes.
 

BBerkaitan

Latest articles