Ditemui Selepas 31 Jam: Remaja OKU Hilang Ketika Cari Lembu Diselamatkan

MELAKA: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) lemah pembelajaran, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu di kawasan hutan Kampung Permatang Pasir, Alai, di sini ditemui selamat awal pagi tadi, selepas 31 jam kehilangannya.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan terbaring di kawasan semak belakang sebuah rumah penduduk kira-kira pukul 1.57 pagi oleh pasukan bomba bersama penduduk kampung yang turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanpa henti sejak malam semalam.

Penemuan itu turut disiarkan secara langsung di media sosial, memaparkan dua anggota bomba memapah remaja berbaju hijau sambil laungan azan bergema, mencetuskan suasana penuh syahdu dan kelegaan.

“Kami terdengar suara dia mengerang perlahan… Alhamdulillah, jumpa juga,” kata salah seorang penduduk kampung yang menyertai operasi SAR.

Difahamkan, remaja berkenaan keluar seorang diri kira-kira 6.30 petang Rabu lalu bagi mencari lembu peliharaan keluarganya yang hilang.

Kawasan hutan tersebut dikenali penduduk sebagai lokasi ‘keras’ kerana mempunyai dua kolam terbiar berusia lebih 80 tahun yang sering dikaitkan dengan kisah misteri dan gangguan.

Menurut saksi, lembu yang hilang hanya ditemui selepas laungan azan dilakukan berhampiran kolam kira-kira jam 10 malam, walaupun kawasan itu telah diperiksa dua jam sebelumnya.

“Mula-mula cari tak jumpa. Tapi bila orang kampung azan dekat kolam tu, baru lembu betina tu muncul,” kata salah seorang pencari.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan keadaan kesihatan remaja terbabit atau punca sebenar kehilangan.

Namun, maklumat lanjut dijangka diumumkan pada pagi ini.

BBerkaitan

Latest articles