LONDON: Sebuah syarikat milik taikun Malaysia kini sedang disiasat oleh Serious Fraud Office (SFO) United Kingdom atas dakwaan pengubahan wang haram, penyelewengan dana awam, serta pembiayaan kempen politik sebagai balasan mendapatkan projek infrastruktur utama di Malaysia.
Menurut laporan Britain Business Insider, siasatan berprofil tinggi ini membabitkan pelaburan besar syarikat terbabit di UK, termasuk pembelian 50% kepentingan dalam sebuah firma pembinaan bernilai £50 juta — meskipun syarikat itu mencatatkan kerugian lebih £80 juta.
Turut menjadi siasatan SFO adalah projek mega bernilai lebih £3 bilion serta pembelian hartanah mewah di pusat kota London.
Sumber risikan mendakwa dana haram digunakan untuk membiayai kempen politik tertentu, dipercayai sebagai ganjaran mendapatkan projek rel utama di Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan sedang menyiasat penyelewengan dana bernilai £119 juta (kira-kira RM720 juta) yang berlaku antara 2021 dan 2022.
Setakat ini, pihak berkuasa UK telah menyita aset bernilai hampir £30 juta termasuk jongkong emas dan mata wang asing, sebagai sebahagian daripada langkah membekukan aliran dana mencurigakan.
Siasatan ini menandakan kerjasama rentas sempadan yang semakin erat antara SFO dan agensi penguatkuasaan Malaysia, termasuk perkongsian maklumat risikan yang dipercayai menjadi pencetus kepada siasatan ini.
SFO sebelum ini pernah bekerjasama dengan Malaysia dalam siasatan skandal 1MDB, termasuk tindakan terhadap institusi kewangan seperti Goldman Sachs International dan Coutts & Co.