AMPANG: Pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai “CEO Batu” mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas pertuduhan menunjukkan kemaluannya kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, dua bulan lalu.
Tertuduh, Iqbal Muhammad, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, Iqbal didakwa melakukan gangguan seksual bukan fizikal dengan menunjukkan kemaluannya kepada mangsa dengan niat untuk dilihat oleh kanak-kanak tersebut.
Kejadian itu didakwa berlaku di kawasan Sunway Batu Caves sekitar jam 1.16 pagi pada 16 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, mencadangkan ikat jamin RM10,000.
Namun peguam tertuduh, Anif Rafih memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM6,000 dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh kira-kira RM3,000 sebulan sebagai pempengaruh.
“Akaun media sosial anak guam saya juga telah diharamkan manakala telefon bimbitnya dirampas pihak berkuasa,” katanya.
Peguam itu turut memaklumkan bahawa Iqbal kini menjaga datuknya yang menghidap penyakit jantung dan perlu mendapatkan rawatan bulanan di Institut Jantung Negara.
Hakim kemudian membenarkan ikat jamin RM6,000 dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mendekati mangsa.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen dan pengurusan kes selanjutnya.