BUTTERWORTH: Bapa kepada empat anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Tasek Gelugor pada minggu lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Mahmad Jefri Mat Noh, 35, yang bekerja sebagai seorang ejen penapis air mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang perempuan berusia 17 tahun dengan memeluk badan, mencium bibir serta meraba bahagian dada dan kemaluan remaja tersebut, demikian memetik laporan Malaysia Gazette.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Chempedak, Tasek Gelugor dekat sini pukul 4.50 petang pada 21 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Bagaimanapun, peguam Hairul Alif Hairul Azam yang mewakili tertuduh dalam mitagasi rayuan mohon mahkamah membenarkan jaminan atas budi bicara dengan alasan lelaki itu bekerja sebagai ejen sebuah syarikat penapis air serta perlu menanggung empat orang anak berusia antara dua hingga 10 tahun.
“Anak guam saya juga memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan selain bersetuju akan mematuhi segala syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.
Difahamkan tertuduh melakukan perbuatan keji itu ketika hadir untuk servis penapis air di rumah mangsa.