Detik Cemas Di Majlis Hari Lahir, Kanak-Kanak Hampir Maut Tercekik Belon

KUALA LUMPUR: Kegembiraan majlis hari lahir bertukar menjadi tragedi hampir meragut nyawa apabila seorang kanak-kanak lelaki hampir maut selepas tercekik sebiji belon yang belum ditiup, dalam kejadian yang berlaku di rumah keluarganya di sini pada 20 Mei lalu.

Mangsa, Uwais, yang diraikan sempena ulang tahunnya, tiba-tiba rebah dengan bibir kebiruan dan jantung terhenti, menyebabkan suasana bertukar panik di kalangan tetamu dan ahli keluarga.

Menerusi satu hantaran tular di laman sosial semalam, ibunya Nurul Huda Zulkhairi berkongsi detik mencemaskan itu yang berlaku ketika beliau dan suami sedang melayani tetamu.

“Adik ipar datang bawa Uwais dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bibirnya sudah biru, jantungnya dah berhenti. Suasana bertukar kelam kabut,” katanya.

Suami Nurul Huda bersama seorang tetamu yang juga doktor segera bertindak melakukan bantuan pernafasan (CPR) di tempat kejadian.

“Suami saya terus buat CPR untuk pastikan darah masih mengalir, terutama ke otak. Dia juga terpaksa beri bantuan pernafasan mulut ke mulut,” tambahnya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim dalam keadaan kritikal.

Di Jabatan Kecemasan, pasukan perubatan segera melakukan prosedur intubasi dan menemui sebiji belon tersangkut di saluran pernafasannya.

“Doktor berjaya keluarkan belon itu dan sambung CPR. Alhamdulillah, anak saya selamat,” kata Nurul Huda, penuh syukur.

Uwais kemudian dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan lanjut dan pemantauan.

Menurut ibunya, insiden itu dipercayai berlaku apabila Uwais bermain dan bergurau dengan rakan-rakan, lalu memasukkan belon ke dalam mulut sambil berlari.

“Perkara yang nampak remeh macam belon pun boleh jadi punca tragedi kalau kita leka. Saya hampir kehilangan anak hanya kerana satu belon,” ujarnya, mengingatkan ibu bapa lain agar lebih berhati-hati.

Nurul Huda turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan kedua-dua hospital atas tindakan pantas dan kecekapan menyelamatkan anaknya.

“Terima kasih kepada semua doktor dan petugas. Doakan agar Uwais terus kuat dan kembali pulih seperti sediakala,” katanya dalam nada sebak.

BBerkaitan

Latest articles