Demokrat Lancar Usul Pecat Trump, Dakwa Pelbagai Pelanggaran Berat Perlembagaan

WASHINGTON: Ahli Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat mengemukakan satu resolusi tegas untuk memecat Presiden Donald Trump dengan mengemukakan 13 pertuduhan melibatkan dakwaan jenayah berat dan salah laku pentadbiran.

Menurut dokumen resolusi tersebut, Trump dituduh bertindak di luar batas Perlembagaan termasuk memulakan konflik ketenteraan tanpa kelulusan Kongres.

Resolusi itu mendakwa beliau menggerakkan tindakan ketenteraan terhadap beberapa negara seperti Iran, Yaman, Lubnan, Syria, Nigeria dan Gaza, selain mengeluarkan ancaman terhadap Panama, Colombia, Cuba serta Greenland tanpa kebenaran yang sewajarnya.

Selain itu, Demokrat turut menuduh Trump menyalahgunakan kuasa dengan melibatkan elemen ketenteraan dalam penguatkuasaan undang-undang domestik, melaksanakan penahanan dan pengusiran yang didakwa tidak berperlembagaan, serta mengambil tindakan balas terhadap kebebasan bersuara dan berpersatuan yang dilindungi undang-undang.

Resolusi itu juga mendakwa beliau mensabotaj kedaulatan undang-undang dan melakukan pelbagai pelanggaran lain yang dianggap serius.

Langkah tersebut dilihat sebagai usaha terbaru Demokrat untuk mencabar kepimpinan Trump, sekali gus membuka ruang kepada perdebatan politik yang lebih sengit di Washington dalam tempoh terdekat.

BBerkaitan

Latest articles