Deklarasi Kuala Lumpur 2025: Titik Tolak Baharu ASEAN dalam Geopolitik Antarabangsa

KUALA LUMPUR — Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung ketika ini bakal meluncurkan Deklarasi Kuala Lumpur yang berbeza berbanding sebelumnya melalui dokumen yang lebih signifikan berkenaan masa depan ASEAN dalam hal geopolitik antarabangsa secara menyeluruh mengenai hala tuju dan pelaksanaan dasar-dasar yang dipersetujui bersama negara-negara anggota.

Penganalisis yang juga Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Azmi Hassan, menjangkakan deklarasi kali ini bukanlah satu deklarasi biasa, seperti kenyataan bersama selepas setiap sidang kemuncak sebelum ini.

Beliau berkata, pada 2015, ketika Malaysia menjadi tuan rumah, Deklarasi Kuala Lumpur adalah mengenai pendidikan yang dianggap biasa. Namun, pada sidang kali ini, ia dijangkakan menghasilkan output yang berbeza apabila disebut bahawa deklarasi itu mahu bebas daripada pengaruh kuasa asing.

Katanya, mengambil contoh isu Laut China Selatan yang menunjukkan Filipina lebih condong menyokong Amerika Syarikat, sedangkan negara lain di ASEAN pula lebih memihak kepada China, selain ada negara anggota berkecuali hingga menyukarkan untuk mencapai satu konsensus demi kepentingan ASEAN.

“Isu Laut China Selatan yang melibatkan secara langsung empat negara anggota ASEAN tidak pernah mencapai konsensus untuk kepentingan bersama ASEAN.

“Sebab itu bagi Beijing, mereka lebih suka jika mahu berbincang, kita bincang secara dua hala iaitu Beijing-Kuala Lumpur, Beijing-Hanoi, dan sebagainya. Maka sebab itu mereka katakan campur tangan asing perlu dihindarkan kerana ia tidak membawa faedah kepada ASEAN.

“Ini menunjukkan bahawa strategi ASEAN untuk Deklarasi 2025 adalah bagi menjadikan ASEAN lebih dihormati dan mempunyai penglibatan yang lebih menyeluruh dalam menyelesaikan masalah,” katanya.

Selain itu, Azmi berkata, sidang kemuncak kali ini bukan sahaja akan membincangkan isu dalaman ASEAN seperti isu Myanmar, tetapi bakal menyentuh konflik India-Pakistan, Perang Ukraine dan Gaza.

“Itulah yang ingin dibawa oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN. Namun, setiap keputusan mesti dibuat secara konsensus… sebab itu saya melihat Perdana Menteri melantik Taksin, Hansen dari Kemboja, dan Joshua dari Singapura supaya lebih mudah mendapatkan konsensus daripada negara-negara ASEAN lain.

“Hakikatnya, Deklarasi 2025 ini bukan deklarasi biasa, tetapi satu dokumen masa hadapan ASEAN dalam hal geopolitik antarabangsa,” katanya.

Tambah Azmi lagi, Perdana Menteri juga sebelum ini telah lama menyuarakan hasrat agar ASEAN lebih mengutamakan konsep sentraliti, iaitu penglibatan aktif dalam isu-isu antarabangsa, bukan sahaja hal dalaman seperti isu Myanmar, tetapi juga isu-isu yang jauh dari rantau ASEAN.

“Sebagai pengerusi, kita telah pun mengadakan dua mesyuarat khas berkaitan Myanmar. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mahu menyelesaikan isu ini secepat mungkin dan menetapkan strategi yang patut dilaksanakan.

“Deklarasi Kuala Lumpur 2025 dikatakan akan melibatkan tujuh negara anggota ASEAN, mungkin sehingga sepuluh tahun ke depan, dan Malaysia akan memastikan pelaksanaannya agar ASEAN menjadi lebih dihormati. Itulah yang ingin dicapai oleh Malaysia sebagai pengerusi tahun ini,” katanya.

Sidang kemuncak kali ini juga berbeza apabila turut berlangsung serentak dengan Sidang Kemuncak Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC + China.

BBerkaitan

Latest articles