KUALA LUMPUR: Proses rakaman keterangan seorang individu bergelar Tan Sri, yang dikaitkan dengan siasatan kes penyelewengan dana sukuk bernilai jutaan ringgit bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang, memasuki hari kedua hari ini.
Menerusi tinjauan kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memasuki kediaman ahli perniagaan terkemuka itu sekitar jam 8.45 pagi, dipercayai bagi menyambung sesi soal siasat yang berlangsung sejak semalam.
Difahamkan, kediaman individu tersebut yang juga pemegang konsesi lebuh raya terus dikawal ketat oleh polis bantuan, dengan kon penghadang dipasang sejauh 500 meter dari kawasan rumah bagi mengelakkan gangguan orang awam atau media.
Semalam, dua pegawai penyiasat SPRM telah merekodkan keterangan individu terbabit selama hampir enam jam, bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, individu bergelar Tan Sri itu merupakan saksi utama dalam siasatan kes tersebut, yang dikaitkan dengan penggunaan dana sukuk untuk projek infrastruktur berprofil tinggi.
“Setakat ini, seramai 52 individu telah dirakamkan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ringkas.