KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendakwa insiden serangan terhadap anak lelakinya semalam adalah amaran keras daripada pihak tertentu agar beliau menghentikan siasatan terhadap sebuah skandal besar yang sedang dibongkarnya.
Tanpa mendedahkan butiran skandal tersebut, bekas Menteri Ekonomi itu menegaskan serangan itu berlaku hanya beberapa hari selepas beliau menerima maklumat daripada sekumpulan pemberi maklumat.
“Pada pandangan saya, ini adalah percubaan untuk menutup mulut saya. Minggu lalu, saya bertemu kumpulan whistleblower yang membawa maklumat mengenai satu skandal. Mereka yang berada di belakang serangan ini tahu, apabila saya mula menyiasat sesuatu, saya akan gali sampai ke dasar,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Serangan tersebut berlaku sekitar jam 1.45 tengah hari di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya ketika anaknya bersama isteri beliau.
Dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar penuh dilaporkan mengheret mangsa sebelum mencucuknya dengan jarum suntikan.
Rafizi turut memberi amaran bahawa ancaman seumpama ini mungkin akan berulang, khususnya apabila semakin ramai pemberi maklumat tampil membawa maklumat tambahan kepadanya.
“Ini cara mereka memastikan saya hentikan siasatan dan melupakan isu ini. Maklumat mengenai siapa dalang di sebalik serangan ini saya serahkan kepada polis untuk disiasat,” tegasnya.
Beliau mendedahkan bahawa sepanjang kariernya sebagai ahli politik, ini adalah kali pertama ancaman melibatkan keluarganya berlaku, walaupun beliau pernah lantang mengkritik individu dan isu besar sebelum ini.
“Tidak pernah sebelum ini saya menerima ugutan, tetapi kali ini mereka menyasarkan isteri dan anak saya. Media tahu saya sangat lantang dalam beberapa isu sejak sebulan lalu, dan apabila saya mula bercakap, pemberi maklumat akan tampil. Kebetulan, selepas pertemuan minggu lepas, serangan ini berlaku,” ujarnya.
Rafizi tidak menolak kemungkinan motif serangan itu berkait rapat dengan kerja-kerja siasatan yang sedang dijalankannya ketika ini.
“Bagi saya, motifnya jelas ia berkait dengan tugas saya sebagai ahli politik dan pendedahan yang sedang saya usahakan, bukan sebab lain,” katanya dengan nada tegas.