Cubaan Seludup Haiwan Eksotik Bernilai RM73,000 Ke India Gagal, Lelaki Tempatan Ditahan

SEPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan selepas disyaki cuba menyeludup beberapa ekor haiwan eksotik yang dilindungi ke Hyderabad, India menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH0198 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, baru-baru ini.

Cubaan itu berjaya dipatahkan hasil operasi bersepadu antara Anggota Keselamatan Penerbangan Swasta (AKPS) KLIA dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) yang bertindak pantas selepas menerima maklumat risikan.

Menurut kenyataan AKPS, pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap sebuah bagasi milik penumpang terbabit selepas imej mencurigakan menyerupai hidupan liar dikesan melalui mesin pengimbas.

“Pemeriksaan terperinci berjaya menemui dua ekor disyaki lotong kelabu, dua ekor siamang dan dua ekor armadillo, kesemuanya dianggarkan bernilai RM73,000,” menurut kenyataan itu.

Lelaki berkenaan yang berasal dari Selangor ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut, dan kes kini disiasat di bawah dua akta iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

Kesemua haiwan dipercayai termasuk dalam kategori spesies terancam dan dilindungi di bawah perundangan Malaysia dan antarabangsa.

Haiwan-haiwan berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut, termasuk rawatan dan pemuliharaan.

BBerkaitan

Latest articles