KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, gagal dalam usaha terakhir menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, bersama dua lagi hakim, Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.
Panel menyatakan bahawa permohonan semakan tersebut tidak melepasi tahap ambang (threshold) yang diperlukan untuk dibenarkan.
“Dalam kes ini, tiada keadaan luar biasa atau ketidakadilan ketara yang memerlukan campur tangan mahkamah melalui semakan. Isu yang dibangkitkan masih boleh dihujahkan dalam rayuan jika sabitan berlaku kelak,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima ketika menyampaikan keputusan.
Pasangan tersebut memfailkan permohonan pada Mac lalu di bawah Peraturan 105, Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, dengan alasan panel sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan.
Mereka berharap semakan itu akan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini membebaskan mereka.
Dengan keputusan terkini ini, perbicaraan bela diri Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 47, akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Prosiding dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September, dan 24 hingga 26 September 2025.