KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan kebimbangan serius terhadap isu buli di sekolah dan universiti, sambil menyifatkannya sebagai satu budaya buruk yang semakin berleluasa di Malaysia.
Seri Paduka bertitah, pelajar tidak seharusnya hidup dalam ketakutan untuk menuntut ilmu hanya kerana menjadi mangsa rakan sebaya.
“Anak-anak, remaja dan belia di Malaysia tidak sepatutnya merasa takut untuk ke sekolah atau universiti kerana terpaksa berdepan derita ‘diseksa’ oleh rakan sebaya mereka.
“Ibu bapa juga tidak sepatutnya bimbang mengenai keselamatan anak-anak di sekolah, sedangkan mereka sudah cukup terbeban dengan masalah kewangan dan keluarga,” titah baginda menerusi blog rasmi.
Raja Zarith Sofiah menegaskan, institusi pendidikan sepatutnya menjadi tempat selamat, namun realitinya bertukar menjadi “mimpi ngeri” buat pelajar yang menjadi mangsa.
Baginda turut mendedahkan, ada pelajar memilih berdiam diri kerana bimbang jika membuat laporan, rakan mereka pula akan menjadi sasaran pembuli.
“Mengapa ada antara mangsa buli memilih untuk menyimpan penderitaan mereka sendiri? Kerana mahu melindungi rakan-rakan. Jika mereka melaporkan, rakan mereka pula akan menjadi mangsa,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut mengingatkan tragedi menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkifli, kadet tentera laut yang meninggal dunia akibat kesan melecur di tubuh, serta T Nhaveen dari Pulau Pinang yang maut selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala akibat dibuli.
“Sudah bertahun-tahun, berita mengenai insiden buli dan kesannya yang tragis amat meruntun hati kita semua. Ada mangsa bernasib baik kerana boleh berpindah sekolah, tetapi ada yang tiada pilihan selain terus menanggung penderitaan,” titah baginda.
Raja Zarith Sofiah menegaskan, masyarakat tidak boleh membiarkan nyawa mangsa buli terkorban tanpa makna, sebaliknya menjadikan setiap tragedi sebagai titik perubahan untuk memastikan keselamatan pelajar terjamin.