PUTRAJAYA, — Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Suhaily Mohd Zain berkata budaya lama yang telah berakar dalam sistem penguatkuasaan merupakan cabaran terbesar yang perlu ditangani secara berterusan.
Beliau berkata, isu pengkhianatan dalam kalangan anggota yang diamanahkan menjaga pintu masuk negara bukan perkara baharu, malah pernah wujud sejak zaman awal penubuhan institusi keselamatan negara.
“Perkara ini bukan hanya dalam konteks AKPS. Semasa saya berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dahulu pun, perkara sama telah berlaku. Dalam sejarah kerajaan Melayu juga, unsur seperti ini pernah wujud.
“Cuma dalam konteks moden, ia kelihatan lebih tersusun, dalam sistem yang lebih teratur, namun unsur-unsur tersebut masih ada,” katanya ketika sidang media Majlis Amanat Ketua Pengarah AKPS Tahun 2026 disini, hari ini.
Suhaily berkata, masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama dan walaupun ramai telah ditangkap, ia masih terus berulang.
Menurut beliau, sesuatu perbuatan yang dibiarkan berpanjangan akan bertukar menjadi budaya.
“Ia bermula daripada satu perbuatan, kemudian menjadi ‘tanda budi’, seterusnya menjadi kebiasaan, dan akhirnya berubah menjadi kebergantungan. Apabila hidup sudah bergantung kepada perkara itu, untuk mengubah cara hidup seseorang bukanlah mudah.
“Ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata kerana ia telah menjadi satu gaya hidup,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan AKPS akan terus memperkukuh integriti dalam kalangan warganya dan memastikan budaya lama yang bertentangan dengan nilai perkhidmatan awam dikikis, jika tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
“Ini adalah cabaran besar buat AKPS. Namun ia perlu dilakukan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan sempadan negara,” katanya.










