“Budaya Cintai Alam Sekitar Perlu Dipupuk Sejak Kecil” – Datuk Bandar Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif menegaskan kepentingan menanamkan nilai mencintai alam sekitar sejak usia muda bagi membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan lestari.

Berucap ketika merasmikan Program Plogging@Segambut di Auditorium Pejabat Cawangan Segambut, Taman Tun Dr. Ismail, beliau menekankan bahawa pendidikan awal tentang amalan kebersihan seperti tidak membuang sampah merata-rata adalah kunci kepada kelestarian bandar raya.

“Kita mesti membudayakan aktiviti menjaga alam sekitar sejak usia kecil. Jika dididik dari awal, kelak apabila mereka dewasa, nilai ini sudah menjadi sebahagian daripada diri mereka,” ujar Dr. Maimunah.

Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, YB Hannah Yeoh, bersama wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan, NGO, pelajar universiti serta masyarakat Orang Asli.

Program plogging merupakan aktiviti joging sambil mengutip sampah yang dilaksanakan hari ini adalah sebahagian daripada program signature DBKL bagi tahun 2025.

Ia akan diperluaskan ke semua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur sebagai inisiatif memperkukuh imej ibu kota menjelang Kuala Lumpur sebagai tuan rumah ASEAN 2025.

“Kita tidak boleh hanya harapkan orang lain. Perubahan bermula daripada diri sendiri. Jadilah agen perubahan untuk alam sekitar,” tegas beliau.

Lebih 200 peserta pelbagai latar belakang hadir menyokong inisiatif ini, termasuk agensi kerajaan iaitu Jabatan Landskap Negara, Jabatan Belia dan Sukan WPKL, Balai Polis & Balai Bomba TTDI, SWCorp, Alam Flora, badan bukan kerajaan dan komuniti; Friends of Bukit Kiara (FOBK), PEMADAM Segambut, Majlis Belia Segambut serta Institusi pendidikan: Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Anak-anak Asrama Darul Falah PERKIM (ASDAF)

Menurut Dr. Maimunah, apabila nilai kebersihan dan kelestarian mula menjadi budaya hidup, masyarakat tidak lagi perlu diingatkan tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Apabila mereka berkeluarga nanti, kita tidak perlu lagi galakkan mereka menjaga alam sekitar – kerana ia sudah sebati dalam diri mereka.”

BBerkaitan

Latest articles