GEORGETOWN: Penjaga kaunter muzium di sebuah hotel terkenal di Batu Ferringhi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan warga Korea Selatan berusia enam tahun pada Julai lalu.
Tertuduh, Chong Khay Tee, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalahselepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, demikian laporan Malaysia Gazette.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan amang seksual dengan menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak warga Korea Selatan berusia enam tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Muzium Teddy Besar, Hotel Double Tree Resort by Hilton di sini pukul 4 petang pada 31 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa atau ganggu saksi pendakwaan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun tertuduh memaklumkan dia bekerja sebagai penjaga kaunter di muzium berkenaan dan merayu jaminan dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti yang dimohon Jung Keong.
Kes akan disebut semula pada 6 Oktober depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan itu menuntut di sebuah sekolah di Singapura dan datang bercuti ke negeri itu bersamanya ibunya sejak 24 Julai lalu.