Budak Empat Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 8 Flat

PELABUHAN KLANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah flat di Flat Sri Perantau, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian kira-kira jam 8 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditinggalkan bersendirian di rumah ketika kejadian. Bapanya keluar bekerja, manakala ibunya keluar sebentar untuk menghantar anak kedua ke rumah pengasuh,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan sekitar jam 9 pagi.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah kecederaan serius di bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Berikutan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana unsur pengabaian terhadap kanak-kanak.

Polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil bersendirian di rumah, terutama di kediaman bertingkat tinggi.

BBerkaitan

Latest articles