Bekas Tentera Kekal Hukuman Gantung Kerana Bunuh Anak Kandung

PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota tentera yang didapati bersalah membunuh anak perempuannya yang berusia sembilan tahun tujuh tahun lalu, kekal dijatuhi hukuman gantung selepas rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 43, yang disabitkan membunuh Nur Aina Nabihah dalam insiden tragik pada 2018.

Dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Azmi, mahkamah menyifatkan perbuatan perayu sebagai ganas dan tidak berperikemanusiaan, khususnya terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdaya.

“Mangsa bukan sekadar didera, malah ditendang dan dipijak hingga mengalami kecederaan parah di bahagian perut. Terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman dikenal pasti,” katanya.

Walaupun undang-undang telah dipinda pada 2023 bagi memberi mahkamah budi bicara menjatuhkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, panel hakim menegaskan bahawa hukuman mati tetap wajar dalam kes ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan berfungsi sebagai pencegahan kepada pesalah lain.

Mahkamah turut berpuas hati bahawa tiada kesilapan dari segi undang-undang atau fakta yang dilakukan oleh hakim bicara terdahulu yang boleh mewajarkan campur tangan.

“Kami dapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah sah dan berlandaskan bukti kukuh,” jelas hakim.

Kes ini berlaku pada 31 Januari 2018, sekitar jam 11.30 malam, di sebuah rumah di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mohammad Abdullah yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 17 tahun, didapati melakukan penderaan fizikal yang membawa maut terhadap anak kandungnya.

Pada 22 Ogos 2023, beliau disabitkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datin Rohani Ismail, dan dijatuhi hukuman mati.

Mohammad Abdullah diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi dan Aina Melina Johan Ariff Lim, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa.

Beliau masih mempunyai peluang terakhir untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

BBerkaitan

Latest articles