Bayi Lelaki Masih Bertali Pusat Dijumpai Di Tepi Jalan, Polis Tahan Dua Remaja

SUNGAI PETANI: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan menyayat hati tanpa seurat benang di atas tanah berbatu di bahu jalan di Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu pada jam 9.55 pagi daripada orang awam.

“Tangisan kuat bayi berkenaan didengari seorang penduduk yang ketika itu sedang menjemur pakaian. Dia kemudian mencari sumber tangisan dan terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, jeritan saksi itu menarik perhatian beberapa jiran yang segera keluar rumah untuk membantu mengalihkan bayi berkenaan ke lokasi lebih selamat sebelum menghubungi polis.

Menurut Hanyan, pemeriksaan awal mendapati lokasi penemuan bayi tersebut tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), menyukarkan pengesanan awal suspek yang terlibat.

Bayi malang itu kemudian dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati bayi berada dalam keadaan stabil tetapi mengalami kecederaan calar pada bahagian mata kanan serta sebelah kanan badannya,” kata Hanyan.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah menengah untuk membantu siasatan. Remaja tersebut direman selama dua hari bermula semalam.

“Seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun, dipercayai teman wanitanya, kini dirawat di hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya.

BBerkaitan

Latest articles