Bank Negara Turunkan OPR ke 2.75%

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) pada semalam mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%, langkah awal bersifat pencegahan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus stabil dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM memaklumkan kadar siling dan lantai bagi koridor OPR turut dikurangkan masing-masing kepada 3.00% dan 2.50%.

“Walaupun ekonomi domestik berada di landasan kukuh, ketidaktentuan global boleh memberi risiko kepada prospek pertumbuhan Malaysia.

“Penurunan OPR ini langkah awal untuk memastikan trajektori pertumbuhan kekal stabil dalam suasana inflasi sederhana,” kata BNM.

Menurut BNM, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua terus didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan eksport yang mampan.

Ke hadapan, pertumbuhan dijangka disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh dan kenaikan gaji, terutama dalam sektor berorientasikan domestik dan pelaksanaan projek swasta dan awam serta inisiatif pemangkin ekonomi.

Bagaimanapun, BNM mengingatkan prospek global masih dibayangi ketidaktentuan geopolitik, isu tarif perdagangan, kelemahan sentimen pasaran, serta potensi pengeluaran komoditi lebih rendah daripada jangkaan.

Dalam lima bulan pertama 2025, purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.4% dan 1.9%.

BNM menjangkakan inflasi sepanjang tahun ini kekal sederhana, disokong oleh kos global yang terkawal, tiada tekanan permintaan domestik berlebihan dan tekanan harga komoditi global yang terhad.

Prestasi ringgit menurut BNM akan terus banyak bergantung kepada faktor luaran.

Namun prospek ekonomi Malaysia yang positif, bersama pelaksanaan pelbagai reformasi struktur domestik dan inisiatif menarik pelaburan asing, dijangka terus memberi sokongan kepada ringgit.

BBerkaitan

Latest articles