Banjir: Kerajaan Gerak Tindakan Pantas, Keselamatan Mangsa Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempergiat tindakan segera bagi menangani situasi banjir yang melanda beberapa negeri, dengan tumpuan utama memastikan keselamatan mangsa serta kebajikan mereka terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha itu diselaras melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bersama pelbagai agensi berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri.

Menurut beliau, langkah awal merangkumi hebahan SMS kecemasan kepada orang ramai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, selain penyaluran bantuan kebajikan serta keperluan asas kepada mangsa menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran ditugaskan mengendalikan pam kecemasan bagi mengawal paras air dan mengurangkan risiko banjir berterusan.

Anwar menegaskan keadaan semasa banjir dipantau secara rapi dan bantuan akan disalurkan secepat mungkin kepada mereka yang terjejas.

Beliau turut menasihatkan rakyat agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta berpindah segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.

Dalam pada itu, Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu mangsa di lapangan, sambil mendoakan agar musibah tersebut segera reda dan kehidupan mangsa dapat kembali pulih seperti sediakala.

BBerkaitan

Latest articles