“Bakar Karikatur PM Tindakan Provokasi”

SHAH ALAM: Tindakan segelintir individu membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu demonstrasi di Kota Kinabalu baru-baru ini dikecam sebagai melampau dan tidak mencerminkan budaya demokrasi matang di Malaysia.

Pengarah Strategi PKR Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan bahawa perbuatan itu bukan sahaja tidak wajar, malah mencemarkan nilai perbezaan pendapat yang sihat dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Walaupun rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati, tindakan membakar simbol pemimpin negara adalah satu bentuk provokasi yang tidak membantu perjuangan atau mesej yang ingin disampaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, tindakan sedemikian hanya menambah ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat.

Tambahnya, tindakan provokatif seperti itu boleh menimbulkan kegusaran dan mencetuskan sentimen kebencian yang tidak produktif.

“Perbezaan pandangan wajar diraikan, tetapi ia perlu disampaikan dengan berhemah dan melalui saluran yang betul. Pendekatan konfrontasi hanya akan memburukkan keadaan dan merenggangkan hubungan antara rakyat dan pemimpin,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Saifuddin menggesa kerajaan agar tidak hanya melihat tindakan keras sebagai ancaman, tetapi juga sebagai satu peluang untuk memperbaiki hubungan dengan rakyat.

“Malaysia Madani bukan tentang menolak kritikan, tetapi membina ruang dialog yang terbuka, telus dan berteraskan nilai kemanusiaan serta keadilan. Kerajaan perlu mendengar walau dalam nada keras sekalipun kerana di sebalik itu ada mesej yang perlu difahami,” ujarnya.

Saifuddin turut menyeru para penyokong kerajaan agar tidak bertindak balas secara emosional terhadap insiden tersebut.

“Sebagai masyarakat Madani, kita perlu menunjukkan kematangan dan bertindak dengan bijaksana. Jangan biarkan emosi memacu tindakan yang akhirnya merugikan perpaduan negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum, budaya dan agama yang telah lama mengamalkan toleransi serta semangat kebersamaan.

“Ketidakpuasan hati harus disalurkan secara bertanggungjawab tanpa mengorbankan keharmonian nasional. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai hilang hormat,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles