ATM Jamin Siasatan Tuntas Pegawai Terbabit Sindiket Penyeludupan, Kerjasama Penuh Dengan SPRM

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan beberapa pegawainya yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan bahan kontraban di selatan tanah air.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, berkata pihaknya tidak akan merahsiakan perkembangan siasatan dan jumlah sebenar pegawai yang ditahan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Kami akan beri kerjasama sebaik mungkin dan Insya-Allah, jumlah tepat pegawai ATM yang ditahan akan diumumkan. Biar perkara ini disiasat secara teliti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sindiket penyeludupan barangan terlarang seperti dadah, rokok dan pelbagai barang lain dipercayai didalangi pegawai kanan ATM.

Tindakan pantas SPRM menerusi Operasi Op Sohor membongkar kegiatan tersebut, dengan 10 individu ditahan termasuk lima pegawai kanan tentera dan seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun.

Operasi yang dijalankan sekitar Lembah Klang pada jam 6.30 pagi itu dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM bersama Pasukan Taktikal SPRM (ACTS).

Sumber memaklumkan sindiket itu dianggotai pegawai kanan bahagian perisikan ATM, termasuk dua bekas anggota daripada bahagian sama, yang sepatutnya memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan tetapi dipercayai bersekongkol dengan sindiket sejak lima tahun lalu.

Siasatan awal mendapati suspek utama membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup, sekali gus membantu membawa masuk barangan larangan dari negara jiran ke Malaysia.

Barangan tersebut dianggarkan bernilai RM5 juta sebulan, manakala setiap trip penyeludupan dipercayai memberi pulangan rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada mereka.

BBerkaitan

Latest articles