KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-100 kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi hari ini, pasangan itu turut mendoakan agar Dr Mahathir sentiasa dikurniakan kesejahteraan, ketenangan jiwa dan kesihatan tubuh badan dalam menjalani hari-hari mendatang.
“Gaya hidup sihat serta amal bakti yang tidak pernah terhenti menjadi teladan kepada sebuah negara yang sedang menua, namun tetap punya harapan yang tinggi.
“Semoga Allah SWT terus merahmati Tun, Insya-Allah,” tulis Anwar.
Dr Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Alor Setar, Kedah sebagai anak bongsu daripada sembilan beradik.
Beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia paling lama berkhidmat, memimpin negara selama 22 tahun melalui Barisan Nasional dari 1981 hingga 2003.
Pada usia lebih 90 tahun, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila dilantik semula sebagai Perdana Menteri ke-7 di bawah Pakatan Harapan pada Mei 2018 sehingga Februari 2020.