KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum membuat keputusan sama ada perlu memohon maaf kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Anwar, siasatan lanjut kini diserahkan sepenuhnya kepada MCMC bagi mengesahkan kesahihan sumber yang dirujuk berhubung kenyataan beliau di Parlimen baru-baru ini.
“Kita akan lihat laporan MCMC terlebih dahulu. Muhyiddin juga banyak melemparkan tuduhan serta fitnah, termasuk mendakwa kerajaan zalim kerana tidak menyalurkan peruntukan kepada Kelantan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Minggu lalu, Muhyiddin menuntut Anwar memohon maaf berhubung dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberi amaran akan membawa usul ke Dewan Rakyat untuk merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya permohonan maaf tidak dibuat.
Terdahulu, Anwar menyatakan kesediaan untuk memohon maaf sekiranya terbukti kenyataannya tidak bersandarkan kepada maklumat sahih.
Beliau menjelaskan kenyataan itu dibuat berasaskan tiga sumber maklumat yang diterima, namun siasatan seterusnya kini diserahkan kepada MCMC.
Dalam sidang Dewan Rakyat awal Ogos lalu, Anwar mendedahkan menerima laporan bahawa seorang Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam isu subsidi, merujuk kepada Muhyiddin.
Namun, bekas Perdana Menteri itu menafikan dakwaan tersebut menerusi kenyataan di media sosial.
Susulan penafian itu, Anwar mengarahkan MCMC pada 6 Ogos lalu menjalankan siasatan bagi mengesahkan ketepatan maklumat berkenaan.