Anwar: Tiada Kenaikan Harga RON95, Subsidi Akan Disasar Lebih Adil

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95, sebaliknya akan menumpukan kepada penyasaran subsidi agar lebih adil dan berkesan.

Berucap ketika sesi penggulungan Presiden PKR di Kongres Nasional Keadilan 2025, Anwar berkata cadangan menaikkan harga RON95 pernah dibentangkan di Kabinet namun ditolak.

“Saya tak setuju. Subsidi akan diteruskan untuk rakyat, bukan untuk warga asing dan golongan maha kaya,” katanya di Pusat Konvensyen Persada Johor.

Menurut Anwar, kira-kira RM3 hingga RM4 bilion subsidi petrol dinikmati oleh lebih empat juta warga asing.

Oleh itu, langkah seperti pemantauan lebih ketat dan penggunaan kad pengenalan mungkin dilaksanakan bagi mengelakkan ketirisan.

Anwar turut mengulangi komitmen untuk melaksanakan penyasaran subsidi pertengahan tahun ini, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Kerajaan dijangka menjimatkan sehingga RM8 bilion, yang akan disalurkan semula kepada pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Beliau turut menyentuh isu subsidi gas dan gas asli cecair (LNG), serta menyatakan komitmen kerajaan untuk mengkaji semula pelaksanaan e-Invois agar tidak membebankan perniagaan kecil.

Tegas Anwar, subsidi perlu sampai kepada yang benar-benar layak, bukan digunakan untuk menyokong pemilik kereta mewah seperti Rolls-Royce.

“Tiada negara beri subsidi kepada lima peratus paling kaya. Tapi mereka pula yang suruh kita kekalkan bantuan untuk mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles