PUTRAJAYA: Perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Seri Perdana pada Jumaat, adalah bagi memberikan penjelasan terperinci berkaitan beberapa isu semasa negara.
Menurut Anwar, pertemuan itu penting untuk memastikan Ahli Parlimen BN memahami kedudukan kerajaan berhubung isu-isu seperti dasar cukai, khabar angin mengenai pemotongan subsidi petrol RON95 serta kedudukan badan kehakiman.
“Begini, kadang-kadang pada hari Isnin saya putuskan untuk jumpa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), itu biasa.
“Jadi Datuk Seri Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata elok juga jumpa Ahli Parlimen BN. Maka saya kata baik, kita jumpa semalam,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan, semalam.
Anwar berkata, pertemuan itu mendapat kerjasama penuh daripada Ahli Parlimen BN yang turut memahami isu-isu yang dibangkitkan.
“BN faham dan beri kerjasama penuh dalam isu-isu ini. Selepas ini saya akan teruskan beri penjelasan kepada BN,” katanya.
Dalam pertemuan bersama pimpinan negeri PKR hari ini, Anwar turut berkongsi tindakan tegas kerajaan dalam menangani gejala rasuah, termasuk rasuah berskala besar yang menurutnya menjadi punca wujudnya serangan politik ke atas pentadbiran beliau.
“Saya jelaskan bagaimana tindakan-tindakan kita terhadap rasuah besar kemudian menyebabkan kumpulan ini bersatu untuk menyerang kita.
“Itu yang penting. Bagi mereka rasuah tidak lagi besar, tapi bagi kita ia tetap isu utama kerana ia soal tatakelola,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini saya dah jelaskan sebelum ini, kita kena hormat proses pelantikan Ketua Hakim Negara. Itu semua di bawah bidang kuasa Perlembagaan,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri mengadakan pertemuan tertutup dengan Ahli Parlimen BN di kediaman rasmi beliau di Putrajaya. Pertemuan ini dilihat sebagai usaha memperkukuh muafakat dalam kerajaan perpaduan, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi dan politik.
Setakat ini, gabungan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar yang membabitkan PH, BN, GPS, GRS dan parti-parti lain mempunyai sokongan melebihi dua pertiga di Dewan Rakyat.