PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerjasama yang lebih mantap antara negara-negara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam menangani kekejaman berterusan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Bercakap kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra hari ini, Anwar menegaskan bahawa usaha menghentikan konflik yang berpanjangan ini memerlukan tindakan kolektif serantau dan antarabangsa, bukan hanya daripada satu negara.
“Kita telah nyatakan pendirian kita melalui kenyataan Wisma Putra, tetapi ini bukan keupayaan satu negara sahaja. Seperti perbincangan kita baru-baru ini dengan negara-negara Teluk, terdapat kesepakatan,” katanya.
Menurut Anwar, ASEAN, GCC dan beberapa negara lain boleh bergabung suara untuk menyampaikan tekanan lebih keras kepada komuniti antarabangsa agar menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Anwar turut mengulas tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata segera dan penamatan sekatan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Malaysia, tegas beliau, amat kesal dan kecewa terhadap kegagalan berulang UNSC untuk meluluskan resolusi bagi menghentikan pertumpahan darah dan membantu penduduk awam yang terjejas.
Kementerian Luar, dalam kenyataan sebelum ini, menyifatkan kegagalan tersebut sebagai tragedi kemanusiaan paling buruk sejak Perang Dunia Kedua, dan mengutuk keras penggunaan veto yang menghalang penyelesaian konflik.
Anwar turut menyelar sikap hipokrit sesetengah negara yang secara terbuka mengecam kekejaman Israel tetapi dalam masa sama masih membekalkan senjata kepada rejim Zionis.
“Mereka kecam, tetapi masih jual senjata kepada Israel. Ini tindakan yang jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan,” tegas beliau.
Menurutnya, Malaysia akan terus mencari saluran diplomatik yang sesuai untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menuntut hak sah mereka, termasuk di Gaza.
Sempena sambutan Aidiladha, Anwar memaklumkan beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan beberapa pemimpin negara Islam, termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
“Semua menyuarakan kebimbangan yang sama terhadap kekejaman rejim Zionis. Kami bersetuju untuk terus berunding dan mencari penyelesaian segera demi menghentikan penderitaan rakyat Palestin,” ujarnya.