Anthony Loke Kecam ‘Buli Politik’ Desak Pendakwaan Kes Jalur Gemilang Terbalik

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan ugutan dan tekanan terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mendakwa pemilik kedai yang tersilap memasang Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tindakan “buli politik” yang tidak boleh diterima.

Beliau menegaskan, proses pendakwaan perlu dibuat secara bebas tanpa pengaruh atau tekanan mana-mana pihak, termasuk parti politik.

“Pihak Peguam Negara perlu diberi ruang sepenuhnya untuk membuat keputusan berdasarkan pertimbangan undang-undang, bukan desakan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal yang memberi tempoh dua hari untuk pihak pendakwa raya mengambil tindakan selepas polis menyerahkan kertas siasatan.

Anthony berkata, ugutan mengadakan protes di kedai tersebut jika tiada pendakwaan bukan sahaja tidak matang, malah bercanggah dengan prinsip keadilan.

“Buli tidak sepatutnya berlaku di sekolah, apatah lagi terhadap warga emas. Cara kita menangani pihak yang tidak matang adalah dengan kewarasan berfikir, bukan provokasi,” tegasnya.

Sebagai simbol semangat patriotik, DAP akan menaja pemasangan Jalur Gemilang gergasi di premis tersebut petang ini.

Malah ujarnya, jika ada pihak cuba mengganggu, 831 Jalur Gemilang akan diedarkan secara percuma kepada orang ramai sebagai mesej perpaduan menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

BBerkaitan

Latest articles