KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim hari ini membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kebebasan kehakiman terjejas selagi Perdana Menteri mempunyai kes undang-undang peribadi.
Kamil menyifatkan tuduhan Muhyiddin sebagai “rambang, tidak berasas dan langsung tidak bersandarkan fakta.”
“Hakikat bahawa Perdana Menteri sedang melalui proses undang-undang sivil sendiri membuktikan badan kehakiman kita bebas. Tiada siapa kebal di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Kamil menolak dakwaan Muhyiddin bahawa pelantikan kehakiman kononnya terjejas hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai kes sivil.
Menurut beliau, Perdana Menteri yang merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan adalah hak undang-undang setiap individu — bukan konflik kepentingan seperti cuba digambarkan.
“Menganggap ia ‘tidak pernah berlaku’ atau satu bentuk campur tangan adalah tafsiran dangkal lagi memalukan, apatah lagi datang daripada seorang ahli Parlimen veteran,” katanya.
Beliau menegaskan sehingga kini tiada sebarang bukti Anwar melanggar prinsip pemisahan kuasa mahupun mencampuri urusan kehakiman.
Kamil turut menyelar Muhyiddin kerana mendakwa terdapat hilang kepercayaan dalam kalangan ahli Parlimen kerajaan, sedangkan berbeza pandangan adalah perkara normal dalam demokrasi.
“Ini berbeza dengan pendekatan Muhyiddin sendiri yang pernah menutup Parlimen ketika memerintah semata-mata mahu elak cabaran,” katanya sinis.
Beliau menolak dakwaan kononnya langkah-langkah seperti peluasan SST atau kenaikan tarif elektrik bertujuan memperkukuh cengkaman kerajaan terhadap institusi negara.
“Dasar ini dibuat atas pertimbangan fiskal. Retorik Muhyiddin hanya mahu menjejaskan kepercayaan awam dan cetus ketidakstabilan demi kepentingan peribadi.”
Kamil dalam kenyataan sama menyeru rakyat supaya tidak terperangkap dalam permainan politik kotor yang akhirnya hanya mengorbankan kestabilan negara.