Alumni GPMS Gesa STPM Dikekalkan Untuk Permohonan IPT

KUALA LUMPUR: Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan menegaskan bahawa Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) perlu terus dikekalkan sebagai laluan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.

Menurut kenyataan badan itu, STPM terbukti sebagai sistem prauniversiti yang berkualiti tinggi, telus dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, justeru sebarang cadangan untuk memansuhkannya harus ditolak.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertahankan kelangsungan dan integriti STPM demi memastikan generasi akan datang terus mempunyai pilihan pendidikan yang setanding dengan sistem prauniversiti antarabangsa,” kata mereka.

Kenyataan itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Alumni GPMS Kebangsaan kali ketiga di ibu negara baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut turut mencadangkan supaya program prauniversiti diperluas ke lebih banyak IPTA, khususnya di pantai timur dan selatan negara, atau dilaksanakan menerusi pendekatan “Satu IPTA, Satu Prauniversiti” di setiap negeri.

“Langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kepada lepasan SPM untuk menyambung pengajian prauniversiti, sekaligus memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara menyeluruh di seluruh negara,” ujar mereka lagi.

Dalam pada itu, Alumni GPMS turut memohon KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menimbang semula dasar had umur pelantikan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) serta Pengarah Pendidikan Negeri.

Mereka mencadangkan pelantikan dibuat sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum tempoh persaraan wajib, bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pendidikan dan mengelakkan persepsi bahawa pelantikan tersebut hanya sebagai ganjaran sebelum bersara.

Alumni GPMS juga meluahkan kebimbangan berhubung beberapa kekosongan jawatan penting seperti Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan pengarah pendidikan negeri yang belum diisi.

“Kekosongan ini boleh menjejaskan keberkesanan tadbir urus pendidikan di peringkat negeri dan institusi,” tegas mereka.

Selain itu, mereka meminta penjelasan terperinci daripada KPM berkaitan pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai kemasukan automatik ke Pusat Matrikulasi bagi pelajar SPM yang memperoleh A dalam semua subjek.

BBerkaitan

Latest articles