Alami Pesta Kaamatan: Panduan Untuk Pengunjung

Foto kredit Sabah Tourism Board

Saban tahun apabila bulan Mei tiba, sawah padi yang mulai menguning menjadi petanda musim Kaamatan telah bermula. Suasana dipenuhi rasa teruja dan kegembiraan, mencerminkan kemeriahan pesta yang diraikan di seluruh Sabah.

Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Hongkod Koisaan Cultural Unity Centre Penampang merupakan lokasi utama sambutan pesta Kaamatan. Setiap tahun, KDCA  membuka pintunya kepada pengunjung dan menjemput semua untuk berkongsi kegembiraan, perpaduan dan tradisi pesta Kaamatan yang diraikan pada 30 dan 31 Mei.

Sepanjang dua hari cuti umum ini, sambutan Kaamatan di Kota Kinabalu dan kampung-kampung di seluruh negeri mencapai kemuncaknya sekaligus menarik kedatangan penduduk tempatan, warga perantau Sabah dan pengunjung dari semua lapisan masyarakat.

Ketahui perkara-perkara menarik berkaitan pesta Kaamatan di Sabah yang disambut sepanjang bulan Mei.

  1. Ritual Tradisional
    Foto kredit Sabah Tourism Board

    Jika anda berpeluang menghadiri majlis perasmian pesta Kaamatan di KDCA, anda dapat menyaksikan upacara ‘spiritual’ yang penuh simbolik. Upacara ini dikendalikan dengan teliti oleh Bobohizan, kumpulan pendeta tradisional yang dihormati sebagai penjaga tradisi masyarakat Kadazandusun.

    Setiap nyanyian dan gerak isyarat yang dilafazkan merupakan penghormatan kepada Bambarayon atau ‘semangat padi’, sambil memohon berkat dan kesejahteraan untuk negeri dan rakyatnya. Upacara simbolik ini menjadi jambatan hidup yang menghubungkan masyarakat dengan dunia alam, sekaligus memperkukuhkan ikatan antara manusia dan roh alam dalam tradisi Kadazandusun.

  2. Persembahan Kebudayaan
Foto kredit Sabah Tourism Board

Di sebalik keanggunan tarian Sumazau yang mengalun lembut bak burung helang terbang, masyarakat Kadazandusun menghidupkan warisan budaya mereka melalui persembahan kebudayaan yang meraikan kepelbagaian kumpulan subetniknya.

Contohnya, Tarian Maragang dari Tambunan yang penuh semangat dengan gerakan lincah dan laungan jeritan ‘pangkis’ yang membakar jiwa. Tarian Sazau Papar pula dibawakan oleh suku kaum Kadazandusun dari daerah Papar, manakala orang Rungus di Kudat mempersembahkan versi mereka melalui tarian Mongigol yang bersemangat. Persembahan memukau ini bukan sahaja dipentaskan semasa acara utama Kaamatan, malah turut diadakan di rumah-rumah tradisi yang terletak di luar dewan utama, agar semua dapat menyelami warisan Sabah yang hidup.

3.Ratu Pesta Kaamatan

Foto kredit Sabah Tourism Board

Pertandingan Unduk Ngadau merupakan acara kemuncak sambutan Kaamatan, menandakan saat yang dinanti-nantikan untuk penobatan ratu pesta Kaamatan. Ia bukan sekadar pertandingan ratu cantik, tetapi merupakan satu penghormatan kepada semangat Huminodun – seorang puteri lagenda yang mengorbankan dirinya demi kesejahteraan rakyat.

Setiap peserta akan mengenakan busana tradisional daerah masing-masing, mewakili komuniti mereka dengan penyampaian cerita warisan budaya mereka.  Keterujaan penonton memuncak apabila tiba segmen soal jawab, di mana para peserta akan menjawab dalam bahasa ibunda suku kaum masing-masing Segmen ini bukan sahaja menunjukkan keanggunan tetapi juga kebanggaan budaya serta kecerdasan minda yang mereka miliki, melambangkan ciri-ciri Huminodun.

4. Pertandingan nyanyian Sugandoi

Foto kredit Sabah Tourism Board

Bermula dari peringkat daerah hingga ke pentas akhir, suara-suara terbaik Sabah menyinar dalam acara tradisi nyanyian yang sangat disukai ramai. Menyanyi merupakan aktiviti kegemaran rakyat Sabah, sama ada di karaoke, majlis keluarga, atau acara kampung. Pertandingan sugandoi menyerlahkan lagi semangat ini dengan menjadikan nyanyian sebagai satu acara meriah yang diraikan di seluruh negeri.

Peserta dari semua peringkat umur membawa gaya tersendiri ke pentas, mempersembahkan nyanyian dalam bahasa ibunda mereka, sambil menghidupkan suasana dengan sorakan dan persembahan yang memukau. Sugandoi bukan sekadar pertandingan nyanyian, tetapi satu ekspresi ceria yang menyatukan masyarakat dan budaya yang dinanti-nantikan setiap kali Kaamatan tiba.

5. Permainan tradisi

Foto kredit Chairil Production

Permainan tarik tali yang lazimnya diadakan pada waktu pagi adalah antara aktiviti tradisional yang boleh disertai atau ditonton semasa pesta Kaamatan. Permainan yang meriah ini tersemat dalam warisan tempatan dan mempamerkan kekuatan, kerjasama berpasukan dan semangat komuniti. Acara ini sering menjadi tarikan pengunjung.

Permainan lain seperti gusti lengan dan sumpitan turut memeriahkan suasana. Aktiviti ini bukan sahaja menarik untuk ditonton, malah menggalakkan pengunjung untuk turut serta merasai budaya suku kaum Sabah.

6. Hidangan Tradisi

Foto kredit Sabah Tourism Board

Semasa Kaamatan, suasana menjadi lebih meriah dengan kehadiran peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai hidangan etnik istimewa serta buah-buahan bermusim yang segar, memperlihatkan kekayaan kulinari dan sumber makanan Sabah.

Antara sajian yang wajib dicuba ialah hinava (kerabu ikan mentah), bosou (ikan atau daging yang diperam secara tradisional), serta linopot (nasi yang dibalut daun).  Untuk pencuci mulut, hidangan manis seperti hinompuka – kuih beras pulut kukus yang lembut, dan penyaram yang rangup pasti menambah pengalaman pesta kaamatan.

7. Tamu Besar-besaran

Foto kredit Sabah Tourism Board

Tamu Kaamatan merupakan sebuah tempat yang penuh dengan tarikan dan kemeriahan yang menghidupkan budaya Sabah di setiap lorongnya. Anda boleh menyelami ratusan gerai-gerai artisan tempatan yang mempamerkan dan menjual kraf tangan, hasil kerja manik, tenunan, dan pelbagai lagi hasil tradisional yang unik. Aroma makanan tradisional yang menggoda, suara perbualan mesra, serta alunan muzik tradisi secara tidak langsung menghidupkan lagi suasana tamu Kaamatan. Di sini, amalan ini adalah lebih daripada sekadar membeli-belah. Peluang ini menjadi  tempat pengunjung bertemu dengan pembuat tempatan, berkongsi cerita, dan merasai kehangatan perayaan ini.

Panduan Untuk Pelawat

Di sebalik pemandangan dan kemeriahan bunyi-bunyian, kemesraan orang ramai lah yang benar-benar menjadikan Kaamatan begitu istimewa dan sukar dilupakan. Rakyat Sabah terkenal dengan sikap mesra mereka, sentiasa mengalukan pengunjung untuk bersama-sama meraikan perayaan Kaamatan dengan penuh rasa syukur. Bagi anda yang ingin menikmati sambutan Kaamatan dengan lebih selesa, berikut adalah beberapa panduan berguna:

  1. Rancang Logistik Awal

Semasa musim Kaamatan, penginapan dan pengangkutan terutama di sekitar KDCA dan Kota Kinabalu sering habis ditempah. Oleh itu, anda sebaiknya membuat tempahan hotel atau homestay dengan lebih awal. Untuk kemudahan akses ke festival, anda juga boleh pertimbangkan untuk menginap di kawasan Penampang yang berdekatan dengan perkarangan KDCA.

  1. Mengunjungi Kota Kinabalu/Penampang

Bersiar-siar di Kota Kinabalu dan Penampang semasa Kaamatan biasanya mudah, tetapi boleh menjadi sesak terutama pada waktu kemuncak. Aplikasi e-hailing seperti Grab, Maxim, dan AirAsia Move sangat popular kerana dapat membantu mengelakkan masalah tempat letak kereta. Namun, perkhidmatan ini sering mendapat permintaan tinggi terutamanya pada waktu puncak. Oleh itu, rancanglah perjalanan anda dengan lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Selain itu, berkongsi kereta bersama keluarga atau rakan juga merupakan cara terbaik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ramai pengendali pelancongan turut menawarkan pakej lawatan sehari termasuk pengangkutan, lawatan berpandu, dan akses eksklusif kepada tarikan budaya, sesuai untuk pelawat kali pertama atau mereka yang mahu merasai pengalaman lebih mendalam semasa Kaamatan.

  1. Etika Pakaian & Tatasusila

Pastikan anda berpakaian sopan dan selesa. Namun jangan berasa segan untuk memakai pakaian tradisional! Pakaian tradisional selalunya menjadi pilihan dan menjadi kebanggaan ramai yang membangkitkan lagi semangat perayaan. Pastikan juga anda menghormati dan menghargai setiap hidangan serta menjaga peralatan ritual dengan berhati-hati, kerana pembaziran makanan dianggap sebagai satu penghinaan kepada semangat Bambarayon. Semasa upacara berlangsung pula, tumpukan perhatian kepada arahan pemandu acara kerana mereka akan membimbing anda agar dapat menyertai keseronokan dengan cara yang betul!

  1. Terokai lebih dari KDCA

Walaupun KDCA menganjurkan acara Kaamatan yang terbesar, setiap daerah di Sabah mempunyai cara tersendiri untuk meraikannya. Kunjungi daerah lain seperti Tambunan, Kudat atau Tuaran untuk menikmati variasi tarian Sumazau, mencuba hidangan tempatan, serta merasai kemeriahan suasana perayaan komuniti yang intim.

  1. Sertai Keseronokan

Jangan malu untuk mencuba kemahiran anda dalam permainan tradisional atau sertai persembahan tarian. Penduduk tempatan sentiasa mengalu-alukan penyertaan daripada pengunjung dan bersedia membimbing tetamu. Jangan lepaskan peluang menyaksikan pertandingan akhir Sugandoi, di mana suara-suara terbaik Sabah bersaing sekaligus merayakan tradisi lagu dan bahasa asli Sabah. Sambil menikmati suasana, jangan lupa untuk mencuba pelbagai juadah tradisi kerana pesta Kaamatan adalah pesta visual dan deria!

Maklumat lanjut di www.sabahtourism.com

BBerkaitan

Latest articles