MUAR: Seorang lelaki diperintahkan menjalani hukuman penjara dua tahun serta dua sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajak anak kandungnya melakukan hubungan seks, Isnin lalu.
Tertuduh berusia 47 tahun yang juga duda membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor, demikian memetik laporan BH.
Mahkamah Sesyen Muar turut memutuskan hukuman penjara terhadap tertuduh dijalankan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri didakwa berkomunikasi secara seksual terhadap anak tunggal perempuan berusia 14 tahun yang mana mempunyai hubungan amanah sebagai bapa kandung, di sebuah rumah di Batu Pahat, jam 4 petang, 16 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11 (1) (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 11 (1) (a) ialah penjara sehingga tiga tahun, manakala Seksyen 16 iaitu tambahan hukuman, penjara maksimum lima tahun dan dua sebatan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga ibu saudara mangsa meminta anaknya mengambil remaja itu di rumah bapa kandungnya.
Ini kerana mangsa memberitahu dia ketakutan kerana bimbang bapa kandungnya mahu melakukan perkara tidak elok terhadapnya selepas mengajak melakukan hubungan seks.
Pada hari kejadian, mangsa menolak pelawaan tertuduh sebelum keluar dari bilik tidur bapanya.