AGC Umum Inkues Kematian Zara Qairina, Siasat Jika Ada Unsur Jenayah

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan prosiding inkues akan dijalankan bagi menyiasat punca kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia bulan lalu di Sabah.

Dalam kenyataan hari ini, AGC berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis semalam.

“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya,” menurut kenyataan tersebut.

Langkah itu menyusul selepas peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, mendakwa terdapat kepincangan dalam kertas siasatan yang diterima AGC, termasuk ketiadaan bedah siasat awal serta kegagalan polis mengambil pakaian dan barang peribadi mangsa untuk dianalisis.

Peguam keluarga turut menggesa AGC menggunakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengarahkan majistret mengadakan inkues, bagi menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina.

Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan kubur Allahyarham digali semula untuk proses bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan turut mengumumkan penempatan sementara pengetua, penolong kanan hal ehwal murid dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Langkah itu diambil susulan kes ini kini di bawah siasatan pasukan petugas khas Bukit Aman.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai lalu, selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah di Papar.

Beliau disahkan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.

BBerkaitan

Latest articles