AGC Akui Kewujudan Titah Adendum, Mahkamah Persekutuan Akan Putuskan Tarikh Keputusan

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akhirnya mengakui kewujudan titah adendum yang menjadi tunjang semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Pengesahan itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini, sekali gus mengundang perhatian apabila isu ini sebelum ini sering dipersoalkan pihak pembelaan.

“Kami tidak mempertikaikan kewujudan titah tersebut. Namun, prosedur untuk mengemukakannya sebagai bukti tambahan perlu dipatuhi,” katanya.

Pendirian AGC itu turut menarik perhatian Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, yang mempersoalkan sama ada mahkamah masih perlu menjawab persoalan undang-undang berkaitan cara titah itu dimasukkan sebagai bukti tambahan.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah kemudian memaklumkan, keputusan akan dibuat pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Mahkamah Persekutuan kini mendengar rayuan Peguam Negara untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Semakan itu bertujuan membolehkan bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman enam tahun penjara di bawah tahanan rumah — berdasarkan titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh YDPA ke-16.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dalam hujahnya menegaskan AGC terdahulu mempunyai tanggungjawab untuk secara jujur mendedahkan titah itu sejak peringkat awal lagi kerana ia jelas dialamatkan terus kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, yang ketika itu Peguam Negara.

“Mereka mempunyai semua peluang untuk mengesahkan titah tersebut kerana dokumen itu datang sendiri daripada Pejabat Sultan Pahang,” kata Shafee.

Pada Januari lalu, Lembaga Pengampunan sudah mengurangkan hukuman Najib daripada 12 tahun penjara kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles