KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan enam hari bermula 3 November ini bagi perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan menyentuh institusi Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh perbicaraan pada 3, 4, 5, 11, 12 dan 13 November, sekali gus memberi laluan kepada proses perundangan berjalan tanpa penangguhan berpanjangan.
Pertuduhan tersebut berkait dakwaan beliau tidak dipanggil menghadap Seri Paduka selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun mendakwa memiliki sokongan majoriti Ahli Parlimen ketika itu.
Pihak pembelaan yang diketuai peguam Datuk Amer Hamzah Arshad sebelum ini memohon tarikh perbicaraan ditetapkan selepas September bagi memberi ruang kepada penyelesaian kes berasingan berkaitan projek Jana Wibawa yang sedang berjalan di mahkamah lain.
Menurut pembelaan, sebanyak 115 akuan bersumpah telah diserahkan kepada pihak penyiasat, dan mereka kini menuntut pihak pendakwaan mengemukakan senarai saksi serta pernyataan bertulis sebagai persediaan menghadapi perbicaraan.
Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Hazmi Mohd. Saad dan Nadia Mohd. Izhar.
Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan bahawa persoalan perlembagaan yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan tidak perlu diputuskan di peringkat tertinggi, sebaliknya dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk dipertimbangkan.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais menegaskan sebarang isu berbangkit boleh dihujahkan semasa perbicaraan nanti.
Terdahulu, pada 4 Februari 2025, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes tersebut pada awalnya didengar di Mahkamah Sesyen Gua Musang sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.










