KUALA LUMPUR: Polemik berhubung penglibatan wanita dalam jihad perlu ditangani secara berhati-hati dengan merujuk kepada institusi agama yang berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa perbezaan pandangan yang timbul tidak wajar diperdebatkan tanpa panduan jelas daripada pihak berwibawa seperti Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurut beliau, pelbagai tafsiran yang berlegar perlu diselaraskan oleh institusi agama supaya isu berkaitan wanita dalam jihad dapat difahami secara tepat.
“Bila ada perbezaan pandangan ini, sudah pasti ada yang akan mendamaikannya dengan melihat dari kaca mata secara umum dengan merujuknya kepada jabatan mufti,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji Musim 1447H/2026M ke Tanah Suci, hari ini.
Dalam perkembangan sama, seramai 141 petugas haji berlepas ke Arab Saudi menerusi penerbangan pertama sebagai persiapan awal memastikan kelancaran operasi musim haji tahun ini.
Isu berkenaan timbul susulan perdebatan hangat di media sosial mengenai penyertaan beberapa selebriti wanita tempatan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 baru-baru ini.
Tindakan mereka mengulangi misi itu, meskipun sudah berkeluarga dan mempunyai anak kecil, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut tampil memberikan pandangan berhubung isu tersebut dengan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dalam penggunaan istilah, khususnya berkaitan peranan wanita dalam Islam.
Beliau menegaskan, wanita tidak seharusnya didedahkan kepada bahaya peperangan atau risiko tanpa keperluan, manakala lelaki pula bertanggungjawab memastikan keselamatan isteri dan anak-anak sentiasa terpelihara.
“Berhati-hati memilih perkataan, asalkan wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan. Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya perempuan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.










