KUALA LUMPUR: NexG Bhd dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh satu hingga dua hari bagi menjawab dua isu utama yang kembali mencetuskan polemik, termasuk perbelanjaan ratusan juta ringgit serta dakwaan mengaitkan syarikat itu dengan tokoh politik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abu Hanifah Noordin memaklumkan, kenyataan tersebut akan menjelaskan persoalan yang dibangkitkan ahli akademik selain menangkis tuduhan lama yang kembali tular.
“Kenyataan akan dikeluarkan sehari dua lagi… satu untuk menjelaskan isu yang dibangkit ahli akademik dan satu lagi menjawab isu yang sengaja diputar belit mengaitkan syarikat dengan bekas menteri,” katanya.
Isu perbelanjaan kira-kira RM300 juta kembali menjadi perhatian meskipun pihak pengurusan menegaskan penjelasan telah diberikan kepada lembaga pengarah sebelum ini.
Dalam masa sama, syarikat itu menafikan dakwaan berunsur “mafia korporat” memberi kesan terhadap operasi atau prestasi semasanya.
Tekanan terhadap NexG turut meningkat apabila Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menggesa penjelasan menyeluruh diberikan kepada lembaga pengarah berhubung perbelanjaan RM303.7 juta yang menimbulkan persoalan pelbagai pihak.
Sementara itu, Pemerhati Rasuah Malaysia turut memandang serius dakwaan melibatkan individu dikenali sebagai Victor Chin Boon yang didakwa meninggalkan negara ketika siasatan berlangsung.
Presidennya, Jais Abdul Karim menegaskan pihak pengurusan perlu tampil bertanggungjawab memberi penjelasan.










